UCAPAN PENGERUSI
Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam Malaysia Madani.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat lagi kita diberi kesempatan untuk terus menikmati kehidupan di dunia ini yang penuh dengan pelbagai rahmat dan cabaran disamping menghayati nikmat iman dan ihsan. Selawat dan Salam juga diucapkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Tn. Hj Aishamuddin Bin Zulkefli
Pengerusi
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang telah memilih saya sebagai Pengerusi Koperasi Rakan TEKUN Berhad (KRTB) untuk sesi 2023-2024. Saya juga ingin memaklumkan jawatan tertinggi Pengurusan KRTB sekarang adalah terdiri daripada Timbalan Pengerusi Encik Yasir bin Salam, Setiausaha Koperasi Pn Nadiah Hani binti Ali dan Bendahari Tn Hj. Mohamad Razman bin Razak bersama dengan lima ALK iaitu Encik Omar bin Othman (mantan Pengerusi KRTB), Encik Mohamad Saidi bin Azizan, Encik Mohd Ghazali bin Hussain, Encik Md Zaid bin Md Ismail dan Encik Al Amin bin Mustafar yang akan berganding bahu bersama saya untuk menerajui Koperasi, memacu pertumbuhan dan peningkatan prestasi Koperasi yang lebih cemerlang.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua ALK, Pengurus Besar dan warga kerja KRTB di atas kegigihan dan kesungguhan dalam memastikan KRTB ini terus berkembang maju dan mampu berdaya saing serta memenuhi harapan pihak yang berkepentingan, pemegang taruh dan pelanggan.
Kerjasama yang baik dan usaha yang berterusan untuk memperkasakan KRTB akan terus menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran / halatuju KRTB yang boleh dibanggakan dan mampu menjadi antara koperasi terbaik di Malaysia, Insya ALLAH dan dengan izin ALLAH SWT. Tanpa kerjasama dan usaha tersebut, kejayaan cemerlang KRTB tidak mungkin akan dapat dicapai khususnya dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi semasa yang luar jangka dan arus perubahan teknologi dan digitalisasi yang semakin pesat. Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab bersama semua ALK, Pengurusan dan Anggota KRTB untuk memikul amanah yang diberikan untuk memastikan kesinambungan kemajuan koperasi ini sentiasa terpelihara, kekal relevan dan dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada kesejahteraan semua pihak yang berkepentingan.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, KRTB telah mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.6 juta, pertumbuhan sebanyak 9.2% berbanding tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, meskipun KRTB berdepan dengan persekitaran yang mencabar dicetuskan oleh pandemik COVID 19. Penyumbang utama kepada pendapatan KRTB adalah pendapatan daripada aktiviti pembiayaan, aktiviti peruncitan, aktiviti ar-rahnu, aktiviti pusat panggilan kredit, aktiviti penyediaan makanan, aktiviti perkhidmatan kebersihan, aktiviti perkhidmatan keselamatan dan pelbagai pendapatan daripada lain-lain aktiviti. Saya amat berpuashati dan berbangga dengan pencapaian ini dan berharap momentum pertumbuhan ini dapat diteruskan dan ditingkatkan pada tahun- tahun yang akan datang.
Tinjauan ekonomi negara untuk tahun 2023 menjangkakan keadaan ekonomi yang sederhana pada kadar pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus. Pembangunan Koperasi dijangka akan terus diperhebatkan melalui Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) bagi tempoh 5 tahun iaitu dari 2021 hingga 2025. Pelan ini merupakan dokumen transformasi strategik yang menggariskan matlamat, sasaran dan langkah strategik serta program utama yang akan dilaksanakan untuk memperkasakan Koperasi di Malaysia. Adalah diharapkan Pelan ini akan dapat memberi manfaat yang besar dan menyeluruh untuk kesejahteraan semua Koperasi di Malaysia dan khususnya kepada KRTB.
Hasrat Kerajaan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) adalah supaya pembangunan sektor koperasi akan diperhebat sebagai medium untuk meningkatkan pendapatan dan tahap sosioekonomi masyarakat terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah (B40). Melalui gerakan koperasi ini juga dapat memberi galakan berterusan dalam menangani isu berkaitan peningkatan kos sara hidup bagi menambahbaik kesejahteraan anggota koperasi.
Besarlah juga harapan saya supaya KRTB akan meneroka perniagaan dan pasaran baru melalui sektor-sektor selain daripada sektor yang telah diceburi dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi anggota KRTB serta rakyat Malaysia yang seimbang, inklusif, progresif dan mampan.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terimakaseh diatas sokongan padu yang diberikan oleh semua pihak yang berkepentingan khususnya kepada Pengurusan Tertinggi TEKUN Nasional terhadap apa jua aktiviti yang dilaksanakan oleh KRTB. Saya berharap semua ALK, pengurusan dan wargakerja KRTB akan terus beristiqamah dan beriltizam untuk menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan lebih cemerlang.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekian, terima kasih.
Tn Hj. Aishamuddin bin Zulkefli
Pengerusi KRTB